Monday, July 8, 2019

10 Tempat Menarik di Kelantan

Negeri Cik Siti Wan Kembang ini agak seronok untuk dilawati, lebih-lebih lagi kalau anda sudah sebati dengan suasana kota, mana nak cari keindahan panorama alam semulajadi kalau bukan di kawasan kampung? Sekiranya anda sekeluarga ke negeri ini, dapatlah merasa suasana kehidupan masyarakat kampung yang agak simple dan agak rapat antara satu sama lain, satu suasana yang menyenangkan.
Kalau anda datang ke Kelantan mesti anda akan tertarik dengan keramahan rakyat negerinya, dialek Kelantan itu sendiri agak sedap didengar di telinga. Nak kenal dengan lebih ramai ‘oghe Kelate’?
Apa kata kalau anda menghabiskan masa percutian anda dengan melawat negeri ini? Boleh tahan banyak juga tempat yang menarik di Kelantan ni. Di sini kami senaraikan 10 tempat menarik di Kelantan yang pasti rugi sekiranya anda tak lawati semasa berada di sini.
10. Wakaf Che Yeh
Wakaf Che Yeh

Ada dua konsep perniagaan di Wakaf Che Yah ni, pada waktu siang Wakaf Che Yah adalah pasar borong yang menawarkan pelbagai barangan asas dan basah, bila menjelang malam pula, ia menjadi pasar malam yang penuh dengan pelbagai jenis barangan terutama sekali pakaian seperti kain pasang dan tudung.
Barangan-barangan lain yang dijual di sini adalah seperti jersi bola sepak, jam tangan replika, tuala, kasut bundle, toto dan banyak lagi. Hati-hati kalau datang ke sini, sedar tak sedar, boleh licin duit poket.

9. Pantai Cahaya Bulan

Pantai Cahaya Bulan

Sebuah lokasi pelancongan yang perlu dilawati sekiranya ke Kelantan. Sangat seronok untuk bersiar-siar bersama keluaga di waktu petang sambil menikmati pemandangan matahari terbenam.
Lagi syok kalau anda melepak di pantai sambil menikmati jagung rebus yang banyak dijual sepanjang perjalanan dari Kota Bharu ke pantai ini. Dah puas makan jagung, boleh rasa ‘colek’ atau air kelapa yang dijual di tepi pantai pula, baru terasa nikmat bersantai di tepi pantai yang indah ni.
Anak-anak juga boleh bermain layang-layang yang turut dijual di sini. Kemudahan seperti surau dan tandas awam tersedia untuk orang kegunaan orang ramai.

8. Pantai Sri Tujuh

Pantai Sri Tujuh

Dinamakan Sri Tujuh kerana pantai ini memiliki 7 buah teluk. Terletak berdekatan dengan Stesen Keretapi Tumpat, sekiranya anda datang dari Kuala Lumpur, anda boleh menaiki kereta api dengan bayaran sebanyak RM32.
Setibanya di sini nanti anda boleh menginap di resort terapung, Resort Sri Tujuh yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti tempat bermain futsal, golf dan kolam mandi. Sebenarnya lebih baik mandi di kolam yang disediakan resort kerana ombak pantai ini agak kuat.
Antara aktiviti lain yang anda boleh lakukan sewaktu di pantai ini adalah seperti memancing ikan dan berkhemah.Kalau anda nak bersantai di gerai-gerai makanan di tepi pantai ini pun seronok juga sambil bertemankan bayu laut dan pemandangan indah.

7. Muzium Perang Bank Kerapu

Muzium Perang

Dibina pada tahun 1912 dan menjadi bangunan memorial mulai tahun 1992. Bangunan memorial ini dipenuhi dengan artifak dan gambar-gambar untuk memperingati Peperangan Dunia Kedua yang mana peperangan ini telah memberi kesan yang besar kepada negeri Kelantan kerana di sinilah bermulanya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu iaitu pada 8 Disember 1941 di Kuala Pak Amat Kota Bharu.
Pada asalnya, bangunan ini digunakan sebagai bank perdagangan dan digelar Kerapu disebabkan keadaan dindingnya yang menggerutu. Namun, semasa kedatangan Jepun pada tahun 1941 sehingga 1945 bangunan ini menjadi ibu pejabat kempetai Jepun dan selepas peperangan bangunan ini diubah menjadi bank semula.

6. Pantai Irama

Pantai Irama
Pantai ini dianggap sebagai pantai yang tercantik di Kelantan kerana keindahan air lautnya yang jernih kebiruan. Diberikan nama Pantai Irama kerana bunyi tiupan angin yang menenangkan jiwa yang dihasilkan pantai ini.
Untuk pengetahuan anda, pantai ini selalu dijadikan tempat keramaian untuk penduduk tempatan. Anda boleh bermain sukan air atau mengajak keluarga anda beramai-ramai untuk membuat bbq di sini.
Anda juga boleh singgah ke KFC yang terletak betul-betul di tepi Pantai Irama ini. Setiap malam Jumaat pula terdapat pasar malam yang terletak di depan masjid berdekatan pantai untuk membeli makanan masyarakat tempatan ataupun kudapan untuk dimakan sambil menikmati pemandangan pantai.

5. Muzium Islam

Muzium Islam

Muzium yang berbentuk seperti masjid ini terletak di ibu negeri Kelantan, Kota Bharu, muzium ini juga berdekatan dengan lokasi bersejarah iaitu Bank Kerapu. Anda boleh membawa anak-anak ke sini untuk mempelajari lebih banyak lagi tentang asal-usul agama Islam di tanah Kelantan.
Terdapat banyak dokumen-dokumen dan artifak-artifak  yang bersejarah yang menjadi bukti pengaruh agama Islam sehinggakan  Kelantan mendapat gelaran sebagai Serambi Mekah. Di muzium ini anda dapat melihat pameran tentang tokoh-tokoh agama Islam, mufti-mufti negeri ini, seni-seni Islam dan lain-lain lagi.

4. Masjid Jubli Perak Sultan Ismail

Masjid Jubli Sultan Ismail Kelantan

Nama lain bagi masjid ini adalah Masjid Beijing kerana senibinanya yang menyerupai masjid bersejarah, Masjid Niujie yang terletak di Beijing, China yang berusia lebih daripada 1000 tahun. Bumbung masjid ini berbentuk melengkung dan menaranya pula seperti memiliki serban yang dililit dengan unik.
Dibina pada tahun 2005 dan dirasmikan pada tahun 2009. Mempunyai dua tingkat dengan tingkat yang pertama untuk kegunaan awam seperti dewan makan, klinik, dewan serbaguna dan perpustakaan masjid. Tingkat yang kedua pula adalah ruangan sembahyang.

3. Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra

Kota ini adalah tempat tarikan pelancongan yang terkenal di negeri Kelantan. Kalau tak ke sini, tak lengkaplah perjalanan anda di Kelantan, sebabnya, di sinilah terletaknya banyak sekali monumen-monumen yang bersejarah seperti Istana Jahar, Bank Kerapu, Bank Pitis dan Istana Balai Besar. Anda boleh berjalan kaki di sekitar kota ini untuk melawat kesemua lokasi-lokasi bersejarah di sini.
Sebaik anda masuk ke Kota Sultan Ismail Petra, anda akan disambut oleh Pintu Gerbang Kota Sultan Ismail Petra atau Menara Rehal yang menjadi lambang kemegahan ibu negeri Kelantan, Kota Bharu. Terdapat banyak lokasi menarik untuk dilawati di sekitar Menara ini antaranya Padang Merdeka, Istana Balai Besar dan Bank Pitis.
Lokasi lain yang patut anda sekeluarga lawati juga kalau ke kota ini adalah seperti Muzium DiRaja, Masjid Muhammadi dan Kampung Kraftangan.

2. Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi Kelantan

Masjid yang begitu penting di Kelantan ini telah dibina pada tahun 1867 dengan hanya menggunakan kayu-kayu yang terbaik namun diubah kepada konkrit pada tahun 1922.
Masjid Muhammadi ini dapat menampung 2400 orang jemaah pada satu-satu masa. Dianggap sebagai masjid yang memainkan peranan yang sangat penting kerana di sinilah tempat di mana ramai ulama-ulama besar Kelantan pernah mengajar seperti Haji Wan Ali Kutan, Tuan Taba dan Tok Kenali.
Kerana kemahsyuran masjid ini sebagai tempat penyebaran ilmu agama di Nusantara, Kelantan mula terkenal sebagai Serambi Mekah.

1. Pasar Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah

Siapa tak kenal pasar yang mahsyur di Kelantan ni, di sinilah syurga membeli-belah untuk wanita. Bermacam-macam benda yang dijual di Pasar Siti Khadijah ini, dari barangan kraftangan, pakaian, barang kemas, alat solek, barang sulaman, permainan dan macam-macam lagi, bukan setakat barangan, malahan makanan pun pelbagai jenis seperti kuih-muih Kelantan, keropok, dodol, serunding, rempah ratus dan lain-lain.
Kalau nak membeli-belah di sini, anda akan mendapat harga yang special kalau membeli secara borong, bolehlah beli untuk saudara-mara atau geng-geng pejabat, kalau nak murah lagi, anda boleh cuba untuk bertawar-menawar dengan peniaga.
Kalau dah penat mencuci mata melihat barang-barang di pasar ni, anda boleh menjamu selera di medan selera  yang terdapat di tingkat satu bangunan ini. Boleh rambang mata anda melihat kepelbagaian jenis makanan yang terdapat di sini seperti laksam Kelantan, mee celup, nasi atau mee sup perut, pergh semua sedap-sedap, mesti puas punyalah!

No comments:

Post a Comment