SADN 1043 : HUBUNGAN ETNIK
KAJIAN MASYARAKAT SIAM DI KELANTAN : ASIMILASI
KEBUDAYAAN ETNIK SIAM DALAM BUDAYA MELAYU KELANTAN
Malaysia merupakan
sebuah Negara yang begitu unik kerana terkenal dengan masyarakat majmuk di mana
masyarakat ini terdiri daripada pelbagai etnik, keturunan, bangsa, bahasa,
agama, adat resam, kebudayaan dan sebagainya. Sejajar dengan masyarakat di
negeri-negeri lain di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai keturunan atau
bangsa dan sebagainya, masyarakat di Kelantan juga terdiri daripada pelbagai
kelompok bangsa dan asal keturunan yang begitu unik untuk diperkatakan atau
diceritakan dari pelbagai sudut samaada dari segi bangsa, etnik, keturunan,
bahasa, agama, adat resam, serta amalan kebudayaan masyarakat yang terdiri
daripada pelbagai masyarakat. Salah satu daripada kumpulan masyarakat di
Kelantan yang menarik untuk diketengahkan dalam kajian ini ialah masyarakat
berketurunan Siam yang menganuti agama Buddha. Masyarakat Siam ini walaupun
kecil di kalangan masyarakat melayu di Kelantan, ianya agak unik dan kaya
dengan sejarah yang tersendiri. Kajian untuk mengenalpasti kebudayaan
masyarakat Siam ini sangat diperlukan kerana ianya boleh menolong usaha
perpaduan kaum dan ianya juga dapat mencerminkan bahawa masyarakat minoriti ini
tidak dipinggirkan di kalangan masyarakat lain di Kelantan. Jika dilihat dari
sudut dakwah pula, kajian seperti ini lebih diperlukan. Ini kerana pengetahuan
yang tepat berhubung dengan budaya kaum yang menjadi sasaran dakwah, terutama
dari sudut agama, kepercayaan dan perasaan hormat menghormati terhadap bangsa
lain menjamin hasil yang lebih tepat dan harmonis. Ini kerana sesuatu program
dakwah yang diatur tanpa melihat atau menyelami terlebih dahulu keadaan sasaran
secara mendalam bukan setakat sukar mendapat kejayaan, malah boleh menimbulkan
fitnah dan masalah serta mendorong kepada berlakunya perpecahan kaum. Kajian
untuk tujuan tersebut sangat diperlukan pada setiap masa.
Lokasi dan corak penempatan sebuah komuniti
sangat berkait rapat dengan sifat geografinya, khususnya yang berkaitan dengan
kegiatan ekonomi dan perhubungan. Dari segi itu, hampir semua komuniti Siam di Kelantan
menampakkan persamaan. Perkampungan mereka terletak berhampiran dengan laut dan
sungai serta terlibat dalam kegiatan pertanian padi sawah. Tegasnya, mereka
adalah komuniti kampung dan kegiatan utama ialah bertani. Berdasarkan itu,
boleh dibuat kesimpulan bahawa penghijrahan mereka di Kelantan atau dari tempat
perkampungan asal mereka ialah melalui perjalanan laut dan sungai tetapi bukan
perjalanan daratan. Penelitian yang dibuat oleh Golomb (1978) terhadap komuniti
Siam di Tak Bai, yang dianggap induk kepada komuniti Siam di Tumpat berpendapat
bahawa perhubungan jalan darat adalah suatu yang baru. Sebelum itu, tidak
terdapat rangkaian jalan raya dan kereta api, hubungan dengan wilayah utara
melalui jalan darat adalah tertutup. Sebaliknya, perhubungan dan pengangkutan
jalan laut atau sungai antara komuniti Siam di Tak Bai dengan komuniti Siam di
Tumpat lebih mudah dan cepat berbanding jalan darat, bukan sahaja pada masa
lalu tetapi juga sekarang.
Sejarah sebenar mengenai komuniti Siam di
Kelantan, termasuk di Tumpat tidak atau belum diketahui dengan sempurna.
Anggota komuniti yang ada sekarang pada umumnya gagal untuk memberi kepastian
tentang sejarah penempatan mereka. Besar kemungkinan benar bahawa perpindahan
mereka ke Kelantan berlaku selepas penempatan orang Siam di Patani dan
Narathiwat. Perpindahan ini seperti yang dinyatakan oleh Golomb lebih bersifat
beberapa keluarga keluar dari kampung asal untuk mencari kawasan baru dan
mereka bergerak ke selatan. Namun, sejarah sebelum itu terutama semasa berada
di Wilayah Patani atau Narathiwat termasuk Tak Bai tidak diketahui dengan
pasti. Golomb (1978) berpendapat penempatan di Tumpat berlaku lebih kurang 100
tahun lalu.
Hakikatnya Kelantan memiliki kuil Buddha
yang terbesar di Asia Tenggara. "Wat Machimmaram" dibina oleh
masyarakat Thai Kelantan dan kini sudah pun bercampur dengan budaya Cina
tempatan. Oleh itu senibinanya dikatakan campuran pengaruh budaya Siam dan
Cina. Kuil yang terletak di Tumpat Kelantan ini merupakan Patung Buddha Duduk
(Sitting Buddha) yang terbesar di Asia Tenggara. Kuil yang mempunyai ketinggian
30 meter dengan lebar 47 meter ini, menjadi salah satu lokasi pelancongan yang
dikenali oleh ramai pelancong. Satu lagi binaan yang juga terbesar di Asia
Tenggara ialah Patung Buddha Tidur yang terletak di Kampung Beruk (nama lama)
atau Kampung Jambu (nama baru). The Sleeping Buddha ini juga terletak di Daerah
Tumpat, Kelantan dan diberi nama Wat Photivihan. Mengikut sejarah, pertalian
Kelantan-Siam dikatakan bermula sejak pertengahan abad ke 13. Waktu itu
orang-orang Siam sudah mula menyumbangkan pengaruh kekuasaannya ke Selatan
Lembah Sungai Chao Phraya, menurun ke kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu (Nik
Mohamed dlm. Alias Mohamed 1977). Walau bagaimanapun pertalian ini berubah
menjadi perlindungan apabila Long Muhammad menjadi Sultan Muhammad I pada tahun
1800/1801. Baginda menghantar Pak Wan Mahmud sebagai utusan menghadap Maharaja
Siam dan sebagai tanda perhubungan setia Sultan Muhammad mengirim bunga mas ke
Siam tiga tahun sekali. Pada tahun 1832 Sultan sekali lagi menghantar utusan ke
Ligor dan dari Ligor ke Bangkok mengadap Maharaja Siam kerana bimbang akan
ancaman dari Terengganu yang berpakat dengan Pattani. Kepulangan utusan itu
membawa bersama suatu persetiaan antara negeri Kelantan dengan Kerajaan Siam
diwujudkan dan Kelantan hendaklah menghantar ufti bunga emas tiap-tiap tiga
tahun sekali ke Siam sebagai balasan di atas kesanggupan Siam mengawasi
musuh-musuh dari. Kekuatan pengaruh Siam dapat dilihat melalui tindakan Raja Siam
yang telah memperkenankan Long Senik Mulut Merah menjadi Raja Kelantan pada
tahun 1837 dengan gelaran Sultan Muhammad II apabila Sultan Muhammad I mangkat
pada tahun 1835. Apa yang jelas, hanya pada akhir kurun ke 18, Siam dikatakan
telah menguasai Kelantan dan ini berakhir hingga tahun 1909 apabila negeri itu
bersama-sama Kedah, Perlis dan Terengganu dipindahkan ke tangan British dalam
perjanjian Anglo-Siamese. Menurut Perjanjian Siam-Inggeris 1909, Kerajaan Siam
bersetuju menyerahkan segala haknya keatas Negeri Kelantan kepada British.
Dengan perjanjian ini maka Kelantan telah kehilangan sebuah jajahan yang
menurut Kitab Tarikh Kelantan adalah seperti berikut: "Pada masa negeri
Kelantan bersetia dengan Siam adalah lebih kurang 15,000 oang Siam yang mendiami
tempat-tempat di sebelah kanan mudik Sungai Tabal itu. Tetapi oleh sebab Surat
Setia di antara kerajaan Siam dengan Kerajaan Inggeris yang berkenaan dengan
perkara penyerahan negeri Kelantan, Kedah, dan Terengganu tidaklah diperbuat
oleh Kerajaan Siam, bahawa Sungai Tabal itu sempadan jajahan Siam dengan
jajahan Kelantan serta ditolakkan sebuah daerah di dalam Legeh yang dibawah
bendera Siam kepada Kelantan iaitu sebelah ulu negeri Kelantan dan setengah
tanah dalam jajahan Reman yang di bawah benderanya jua kepada negeri Perak.